Search

Gaduh guna senjata tajam akibat pengaruh alkohol

June 29, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Lelaki warga asing ditahan polis selepas terbabit dalam pergaduhan menggunakan senjata tajam dipercayai akibat pengaruh alkohol di hadapan Pasar Raya Rastamas, Jalan Pasar di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 3.43 petang sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi.

“Hasil tindakan pantas, polis berjaya menahan suspek berusia 37 tahun yang disyaki mencederakan seorang lelaki lain dalam pergaduhan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kedua-duanya saling mengenali dan bekerja sebagai buruh kasar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kejadian dipercayai berpunca daripada pengaruh alkohol yang membawa kepada perselisihan faham serta cabar-mencabar antara mereka.

“Polis turut merampas senjata tajam yang digunakan dalam kejadian.

“Pemeriksaan mendapati suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan disyaki berada di negara ini secara haram,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah menggunakan senjata.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen sah dan Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63. – Info X