KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya isu membabitkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berdepan pertuduhan rasuah kepada proses undang-undang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri menghormati undang-undang dan akan membiarkan proses undang-undang berjalan seperti sepatutnya.
“Kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan campur tangan dalam sebarang siasatan dan tindakan undang-undang terhadap mana-mana pemimpin kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Selasa.
Beliau mengulas mengenai ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dan ADUN Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandi, yang didakwa atas pertuduhan rasuah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Jason Juga.
Mengenai kedudukan mereka dalam kerajaan semasa, Ketua Menteri berkata beliau akan meneliti perkara itu dengan sebaiknya selepas menerima semua maklumat dan laporan yang berkaitan.
Hajiji berkata Kerajaan Negeri GRS komited untuk memastikan integriti dalam pentadbiran dan pengurusan kerajaan.
Andi yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, manakala Dr Yusof yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad dituduh menerima wang daripada seorang individu bernama Datuk Tei Jeinn Cheing sebagai dorongan untuk membantu mendapatkan lesen mencari gali mineral bagi dua syarikat milik rakan niaga ahli perniagaan itu.
Individu itu yang turut dikenali sebagai Albert Tei juga didakwa di mahkamah sama atas kesalahan memberi rasuah. – Info X