Search

UMNO Zon 6 sedia hadapi PRN Sabah, fokus tawan pantai timur

July 1, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Zon 6 UMNO Sabah menyatakan kesediaan sepenuhnya untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang dijangka berlangsung tahun ini.

Pengerusinya, Samasuddin Yusop, berkata pihaknya bertekad menjadikan medan itu sebagai titik kebangkitan semula Barisan Nasional (BN) di Pantai Timur Sabah.

Katanya, gerak kerja jentera parti telah digerakkan secara menyeluruh di semua kawasan termasuk Lahad Datu, Semporna, Tawau dan Kalabakan yang suatu ketika dahulu menjadi kubu kuat UMNO dan BN.

“Kita tidak tunggu esok untuk bergerak kerana Zon 6 sudah lama bergerak. Kita mahu menang dengan strategi, maruah dan sokongan penuh kepimpinan pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perjumpaan khas bersama Pengerusi War Room UMNO Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, di sini, baru-baru ini.

Samasuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Kalabakan menegaskan, PRN kali ini bukan sekadar pertandingan politik biasa, sebaliknya menjadi medan untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO.

“Ini soal maruah perjuangan. Kita tidak boleh ulang kesilapan lalu. Kali ini kita tampil dengan kekuatan baharu, strategi baharu dan pendekatan yang lebih dekat dengan denyut nadi rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata antara tumpuan utama ialah pemerkasaan jentera akar umbi, termasuk penyusunan semula struktur di peringkat pusat daerah mengundi (PDM) serta pemetaan data pengundi secara lebih terperinci.

Sebagai Pengerusi Majlis Penerangan dan Media Baharu UMNO Sabah, Samasuddin turut menekankan keperluan memanfaatkan media sosial secara maksimum sebagai senjata utama kempen, terutama dalam mendekati pengundi muda.

“Latihan penggunaan TikTok, Reels dan platform lain turut diperkenalkan agar jentera kita bukan saja aktif turun padang, tetapi juga agresif menawan ruang maya,” katanya.

Katanya, selain memperkukuh strategi digital, pelbagai program berbentuk sentuhan rakyat terus dilaksanakan, antaranya perkhidmatan kesihatan percuma, agihan bantuan makanan serta menyelesaikan isu setempat seperti bekalan air, pencahayaan dan infrastruktur asas.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan proses penapisan calon sedang dilakukan secara teliti bagi memastikan hanya individu yang benar-benar berwibawa, dikenali serta diterima rakyat akan diketengahkan mewakili parti.

“Kita tidak boleh masuk gelanggang dengan harapan kosong. Kita masuk dengan jentera bersedia, data lengkap dan semangat juang yang tinggi,” katanya. – Info X