Search

Tiga maut nahas kenderaan pacuan empat roda dan treler

July 2, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: Tiga lelaki maut selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah treler muatan minyak sawit di Batu 16, Jalan Lahad Datu – Sandakan, di sini, malam tadi.

Kemalangan ngeri itu menyebabkan ketiga-tiga mangsa tersepit dalam kenderaan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

Identiti mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Mohd Azizi, 28, (pemandu D Max), Muhammad Zulkhairi Ismail, 29, (penumpang belakang) dan Mohd Rasman Ahmat Kechil, 28, (penumpang hadapan).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.52 malam.

Anggota bomba mengeluarkan salah seorang mangsa yang tersepit dalam kemalangan ngeri di Lahad Datu. – Pix/Bomba

Katanya, seramai 12 anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 30 kilometer dari balai.

“Sebaik tiba, pasukan mendapati kemalangan membabitkan sebuah treler muatan minyak sawit dan kenderaan Isuzu D Max.

“Tiga mangsa lelaki ditemui tersepit di dalam kenderaan dan berjaya dikeluarkan sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pemandu treler lelaki berusia 61 tahun cedera dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Keadaan kemalangan ngeri membabitkan pacuan empat roda jenis Isuzu D Max dan treler muatan minyak sawit di Lahad Datu. – Pix/Bomba

“Mayat ketiga-tiga mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Selepas memastikan tiada bahaya lain, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.40 tengah malam,” katanya. – Info X