TAWAU: Seorang lelaki tempatan ditahan bersama 204.91 gram ganja dianggarkan bernilai RM4,500 dalam satu serbuan di hadapan sebuah pasar mini di Batu 8, Jalan Ranggu, di sini, Rabu lalu.
Suspek berusia 31 tahun itu ditahan kira-kira jam 9 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sebelum itu suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Katanya, pasukan serbuan yang melakukan pemerhatian selama kira-kira 15 minit kemudian menahan suspek dan bertanyakan sama ada dia menyimpan barang salah atau dadah.
“Suspek kemudian mengaku ada menyimpan dadah dan menyerahkan satu plastik putih yang di dalamnya mengandungi satu kotak berwarna putih.
“Pemeriksaan ke atas kotak itu menemukan satu alat penimbang digital berwarna hitam serta tiga bekas plastik lut sinar mengandungi 24 paket berisi ketulan tumbuhan mampat disyaki ganja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semua dadah jenis ganja seberat 204.91 gram yang dianggarkan bernilai RM4,500 itu dirampas dan dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut.
Turut dirampas, sebuah telefon bimbit dan sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna merah bersama kunci.
Katanya, ujian saringan air kencing ke atas suspek juga mendapati dia positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC), bahan utama dalam ganja.
“Suspek kini direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Pihak polis kini sedang giat mengesan rangkaian pengedaran dadah terbabit dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan ini,” katanya.
Jasmin turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berhubung kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah bagi membantu membanteras jenayah berkenaan di daerah ini. – Info X