Search

GMRB sudah habis – PDRM

July 5, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB) sudah berjaya ditumpaskan selepas operasi bersepadu dilancarkan sejak April lalu.

Timbalan Pengarah Cawangan Khas I Bukit Aman, Datuk Ahmad Ramdzan Daud, berkata setakat ini, semua ahli kumpulan berkenaan telah ditahan.

“Setakat ini, saya boleh kata untuk kumpulan militan dari Bangladesh iaitu GMRB, sudah habis.

“Tetapi kita percaya masih ada elemen militan lain yang belum dikesan dan akan diperincikan kemudian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Bilangan 78 Siri 5/2025 Pulapol, di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Ahmad Ramdzan berkata, antara cabaran utama dalam membanteras gerakan seperti GMRB adalah penggunaan media sosial sebagai saluran untuk merekut ahli baru serta menyebarkan ideologi pelampau.

“Sebahagian daripada mereka (GMRB) direkrut melalui media sosial. Ia menjadi platform utama untuk menyebar fahaman radikal secara senyap.

“Kita perlu meningkatkan keupayaan dari segi teknologi dan pemantauan siber supaya dapat mengesan aktiviti seperti ini lebih awal,” katanya.

Beliau berkata, walaupun media sosial menjadi alat penting komunikasi masyarakat, ia juga kini menjadi senjata utama militan asing.

“Media sosial boleh menjadi mata dan telinga masyarakat terhadap kami, tetapi pada masa sama ia turut dimanipulasi untuk tujuan ekstremisme.

“Kami cuba melaksanakan tugas sebaik mungkin dengan menitik beratkan aspek perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya.

Dalam majlis tamat latihan itu, seramai 200 pelatih menamatkan latihan selama enam bulan yang merangkumi tiga modul utama iaitu Transformasi Kepolisan, Transformasi Minda dan Pengurusan Kepolisan. – Info X