LAHAD DATU: Seorang lelaki maut selepas lebih 20 jam bertarung nyawa susulan terbabit dalam kemalangan di simpang Kampung Bangkarat, Jalan Lahad Datu – Tungku, di sini, semalam.
Kejadian jam 10.30 pagi itu berlaku apabila motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang mangsa berusia 28 tahun dilanggar sebuah motosikal lain sebelum terjatuh dan terseret di lorong kiri jalan raya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, siasatan awal mendapati mangsa ketika itu dalam perjalanan dari arah bandar Lahad Datu menuju ke Jalan Tungku sebelum dipercayai mengubah haluan ke kiri sebaik tiba di simpang menuju ke Projek Jeti Nelayan.
“Dalam masa sama, sebuah motosikal jenis Yamaha R15 yang ditunggang lelaki berusia 25 tahun berada di lorong sama di belakang mangsa dan tidak sempat mengelak sebelum terlanggar bahagian belakang motosikal mangsa.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh dan terseret di lorong kiri jalan manakala penunggang Yamaha R15 terbabas ke bahu jalan namun hanya mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mangsa yang parah dibawa ke Hospital Lahad Datu menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia jam 7.27 pagi tadi ketika menerima rawatan di wad 4 hospital berkenaan.
“Kes ini pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 namun diklasifikasikan semula kepada Seksyen 41(1) APJ 1987 selepas mangsa disahkan meninggal dunia.
“Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Humaidi Harun di talian 089-881255 atau terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu,” katanya.
Sementara itu, beliau menasihati kepada semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan berhemah di jalan raya agar tidak mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain. – Info X