KOTA KINABALU: Enam keluarga Kampung Nelayan 1 Likas, di sini dibenar berpindah ke tanah baharu yang diwartakan kerajaan negeri untuk penempatan kampung selepas kediaman mereka diroboh sebuah syarikat sebelum ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ketika ini Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sedang menyediakan pelan tata atur tanah seluas dua ekar itu.
“Pengambilan tanah CL 015669799 seluas dua ekar untuk tujuan penempatan kampung adalah di bawah hak milik MLGH (Sabah) Sdn Bhd dan bukannya Rimdaya Sdn Bhd.
“Perisytiharan pengambilan
tanah di bawah seksyen 3, Ordinan Pengambilan Tanah Bab 69 telah disiarkan dalam Warta Kerajaan di bawah Gazette Number GN210/2025 bertarikh 5 Jun 2025 dan diulangi pada 12 Jun 2025.
“Surat kebenaran masuk kepada DBKK bagi mengambil alih tapak untuk tujuan penempatan dan surat tawaran pampasan tanah kepada MLGH (Sabah) Sdn Bhd telah dikemukakan pada 30 Jun 2025,” katanya.
Beliau menjawab soalan Azhar Matussin (Warisan – Darau) mengenai tanah seluas satu ekar yang telah diambil maklum oleh Ketua Menteri secara lisan pada Sidang Dewan 20 November 2024 kepada enam keluarga dari Kampung Nelayan 1 Likas yang terbabit dengan perobohan rumah oleh pihak Rimdaya Sdn Bhd.
Hajiji berkata, enam keluarga itu sudah boleh ditempatkan di sebahagian kawasan tersebut yang berkeluasan dua ekar untuk tujuan penempatan.
“DBKK akan menyediakan pelan tata atur dalam kawasan tersebut untuk penempatan keluarga yang terlibat,” katanya sambil menambah penduduk boleh berpindah pada bila-bila masa. – Info X