Search

WARGA EMAS HILANG DIPERCAYAI SESAT DI HUTAN

May 9, 2022

admin

KOTA BELUD: Seorang wanita berusia 74 tahun dilaporkan hilang selepas masuk ke hutan di Kampung Melangkap Kapa, di sini, sejak 4 Mei lalu.

Mangsa Gorin Galais dilaporkan ke kebunnya sebelum dipercayai sesat di kawasan hutan berhampiran.

Jurucakap Bomba Sabah berkata, maklumat diterima selepas keluarga mangsa menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud untuk mendapatkan bantuan pada jam 4.03 petang, semalam.

Katanya, sebaik menerima maklumat, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama jentera dan pacuan empat roda dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Mangsa dilaporkan hilang sejak Rabu lalu dan operasi pencarian masih dijalankan di kawasan sekitar perkampungan berkenaan.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut dibantu penduduk kampung sekitar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi pencarian yang bermula semalam ditangguhkan pada jam 5.30 petang, sebelum disambung semula pagi hari ini.

Katanya, sebarang maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa. – Info X