TAWAU: Tindakan seorang lelaki warga asing mencuri 86 tandan buah kelapa sawit di sebuah ladang di Serudong Laut, Kalabakan, membawa padah apabila dia ditahan, semalam.
Suspek berusia lingkungan 20-an itu ditahan oleh polis bantuan bersama penguat kuasa ladang Usahawan Borneo yang melakukan rondaan di kawasan ladang Sungai Serudong, pada jam 1.30 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, lelaki terbabit dikesan sedang mengutip buah sawit secara haram di dalam kawasan ladang berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan 86 tandan buah kelapa sawit, selain satu batang tombak dan satu penyodok yang dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri itu.
“Kerugian dianggarkan bernilai RM2,000 berdasarkan harga semasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, hasil semakan juga mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan tiada rekod jenayah lampau.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – Info X