Search

PRN17: PBS, STAR mahu GRS tanding solo

July 12, 2025

Info X Reporters

PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) sebulat suara mahu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Perkara itu dinyatakan pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan pada Konvensyen PBS-STAR, di Hongkod Koisaan, di sini, pada Sabtu.

Mereka juga sepakat memastikan tiada pertembungan di antara PBS dan STAR pada PRN17, selain tidak meninggalkan GRS untuk bertanding solo pada pilihan raya itu nanti.

Dr Joachim berkata, beliau juga terbuka jika GRS mahu bekerjasama dengan mana-mana parti lain tetapi menegaskan gabungan parti tempatan Sabah itu mesti menjadi dominan.

“Jika PBS dan STAR yang bertanding solo, ia adalah penyakit, jika GRS tidak mengapa. Tapi, PBS masih GRS. Ya, kita perlu bekerjasama dengan sesiapa sahaja parti tetapi kita mesti dominan, GRS mesti dominan, itu saja,” katanya pada sidang media selepas ucapan penggulungan konvensyen.

Mengenai kerusi, Dr Joachim berkata bagi PBS, pihaknya mengintai lebih 12 kerusi pada PRN17 tetapi jumlah itu masih dalam perbincangan.

Sementara itu, Jeffrey berkata penyokong STAR dan PBS lebih suka jika GRS bertanding solo pada PRN17.

Katanya, jika ada kerjasama dengan parti lain, khususnya Pakatan Harapan (PH), mereka juga perlu menggunakan logo GRS.

Bagaimanapun, katanya GRS perlu bertanding lebih banyak dengan sekurang-kurangnya 55 kerusi bagi memastikan ia berpeluang untuk menang jika rakan kerjasamanya tewas.

Mengenai kerusi STAR, Jeffrey berkata, pihaknya menyasarkan 15 kerusi untuk ditandingi pada PRN17 dan masih berbincang bagi memastikan tiada pertindihan dengan PBS dan parti komponen lain GRS.

Katanya, pertindihan kerusi dengan rakan komponen hanya merugikan GRS dan memberi kelebihan kepada parti lawan. – Info X