LAHAD DATU: Seorang wanita maut manakala 13 cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam 15 meter di Ladang Permai, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Kalma, 33, yang juga penumpang pikap jenis Toyota Hilux terbabit.
Difahamkan, kenderaan berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas sendiri ke bahu jalan dan terjunam ke dalam gaung.
Seramai 15 mangsa berada dalam kenderaan berkenaan, membabitkan tujuh lelaki dewasa, tujuh wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Sumsoa Rashid berkata, sepasukan enam anggota digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 5.53 pagi.
“Semua mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan bomba di lokasi kejadian.
“Pasukan bomba kemudian membantu mengangkat mangsa ke atas jalan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, terdapat seorang mangsa wanita meninggal dunia di lokasi kejadian disahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Manakala 13 mangsa lain mengalami kecederaan dan seorang pemandu dilaporkan selamat.
“Semua mangsa yang cedera dibawa ke hospital menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya.
Tambahnya lagi, operasi ditamatkan pada jam 8.53 pagi. – Info X