SEMPORNA: Sembilan lelaki berdepan detik cemas apabila bot dinaiki mereka bocor dan hampir karam dipukul ombak ketika dalam perjalanan pulang selepas memancing di perairan Pulau Sebangkat, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.37 pagi itu, tiga daripada mangsa terpaksa menutup lubang bot menggunakan tangan dan kain, manakala enam lagi berpaut pada badan bot bagi mengimbangi kedudukan bot daripada karam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Semporna, Leftenen (PA) Mohd Hasran Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi Sistem MERS 999 sebelum empat anggota digerakkan ke lokasi menggunakan bot aluminium A008.
“Pasukan penyelamat tiba kira-kira sejam kemudian dan mendapati tiga mangsa masih berada dalam bot, manakala enam lagi berpaut di luar bot yang hampir tenggelam.
“Semua mangsa berjaya diselamatkan dan dipindahkan ke bot penyelamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika semua mangsa dalam perjalanan pulang selepas memancing dan bot dinaiki mereka bocor akibat dipukul ombak kuat.
Operasi turut disertai Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebelum semua mangsa dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Semporna pada jam 2.15 petang.
Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan. – Info X