KINABATANGAN: Lelaki yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki bersama tiga rakannya karam di sungai berhampiran Ladang Temenggong, di sini, ditemui lemas, petang tadi.
Mayat mangsa, Adzly Kassim, 46, ditemui orang kampung kira-kira jam 6.30 petang, hanya 15 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Penolong Penguasa Bomba, Hairi Utoh berkata, mayat mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut.
“Operasi dijalankan bersama orang kampung menggunakan bot secara surface searching di sekitar kawasan bot karam.
“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, operasi ditamatkan pada jam 7 malam selepas semua keadaan disahkan selamat.
Katanya, operasi pencarian mangsa membabitkan seramai tiga anggota bomba dan dibantu tiga anggota polis dan 20 orang awam.
Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka bersama tiga lagi rakan karam ketika memancing di sungai berkenaan.
Dalam kejadian itu, tiga rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk bantuan.
Usaha mencari dan menyelamat kemudian dijalankan sejurus laporan diterima pada jam 11.49 pagi. – Info X