Search

Pindah parti sebab Warisan gagal bentuk kerajaan

July 21, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari, menjelaskan tindakannya meninggalkan Parti Warisan pada Februari 2023 berikutan kegagalan parti itu membentuk kerajaan.

Katanya, beliau bertindak meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) setelah memberi peluang kira-kira dua tahun kepada Warisan.

“Perlu juga difahami saya memberi peluang sehingga saat-saat yang terakhir kepada Warisan kalau boleh menubuhkan kerajaan pada pada waktu itu, tapi gagal.

“Apabila sudah gagal, ertinya saya bawa rakan-rakan saya dalam pimpinan berbincang apa yang harus kita buat. Saya tidak marah dengan sesiapa, malahan sejak saya berpindahpun tidak memburukkan mana-mana pihak.

“Warisan pun tidak juga banyak ceritalah, maknanya tidak juga banyak memburukkan saya kerana saya orang baik. Saya berpindah semata-mata untuk memastikan politik saya mempunyai kesinambungan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Gagasan Rakyat Tanjung Aru ditemui pada Perlawanan Akhir Pertandingan Bola Sepak Amatur N22 Tanjung Aru 2025 di Sembulan, di sini, malam tadi.

Katanya, tindakan itu memperlihatkan usahanya dalam menjaga kepentingan rakyat di Petagas supaya mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada kerajaan.

“Apabila saya menjadi wakil rakyat, sekurang-kurangnya, kalaupun tidak lama saya sudah dua tahun waktu itu menjadi wakil rakyat, baru saya berpindah kepada kerajaan.

“Sekurang-kurangnya rakyat dapat melihat dalam dua tahun itu ‘how I serve them’, apa yang saya buat untuk kepentingan rakyat di kawasan saya di Petagas dan di Tanjung Aru,” katanya.

Sementara itu, mengulas amaran Warisan mahu menyaman bekas wakil rakyatnya yang meninggalkan parti sebelum ini, Awang Ahmad Sah menyatakan kesediaannya berdepan tindakan berkenaan.

Awang Ahmad Sah adalah antara lima ADUN Warisan yang meninggalkan parti itu selepas kegagalan rancangan Langkah Kinabalu yang menyaksikan cubaan Warisan, UMNO Sabah dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menjatuhkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Januari 2023.

Empat ADUN selebihnya ialah Datuk Norazlinah Arif (Kunak), Datuk Mohamad Mohamarin (Banggi), Datuk Chong Chen Bin (Tanjung Kapor) dan Datuk George Hiew Vun Zin (Karamunting). – Info X