Search

Datuk minta RM6,000 untuk dapatkan darjah kebesaran Pahang ditahan SPRM

July 21, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang ahli perniagaan bergelar datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas dipercayai menipu seorang lelaki dengan meminta wang RM6,000 kononnya untuk mendapatkan darjah kebesaran negeri Pahang.

Suspek berusia lingkungan 40 tahun itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari tadi, ketika hadir ke Pejabat SPRM Sabah bagi dirakam keterangan.

Menurut sumber, suspek disyaki menawarkan bantuan mendapatkan darjah kebesaran bergelar ‘Datuk’ sekitar 2023, sedangkan dia tidak mempunyai sebarang kuasa atau kelayakan untuk berbuat demikian.

“Suspek secara tidak jujur telah mendorong mangsa memindahkan wang kira-kira RM6,000 bagi membeli aksesori pakaian istiadat sebagai kononnya bertujuan untuk mendapatkan darjah kebesaran berkenaan,” katanya.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Beliau berkata, suspek dibebaskan selepas membayar wang jaminan RM5,000 daripada jumlah keseluruhan jaminan RM10,000.

“Suspek dijangka didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, Khamis ini mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009,” katanya. – Info X