SEMPORNA: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah berjaya mematahkan cubaan 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada memasuki perairan negeri ini menggunakan empat bot laju dalam operasi di kawasan Perairan Timur Pulau Mataking pada Sabtu.
Dalam operasi kira-kira jam 8 pagi itu, semua bot berkenaan dinaiki 17 lelaki dan 12 wanita berusia dua sehingga 60 tahun terbabit berjaya dipintas sebelum diiringi keluar dari perairan negara.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, pasukan operasi yang sedang menjalankan rondaan Op Taring berjaya mengesan pergerakan semua bot berkenaan.
“Semua bot terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan selepas dipercayai bergerak dari arah perairan antarabangsa negara Filipina dan memasuki ke negara ini.
“Pemeriksaan mendapati semua juragan bot dan penumpang tidak mempunyai dokumen keterangan diri yang sah.
“Hasil siasatan mendapati semua individu berkenaan mengakui sebagai warganegara Filipina dan ingin masuk ke daerah Semporna,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Rani memaklumkan pasukan operasi terus membuat pengusiran dengan mengiringi keempat-empat bot berkenaan keluar daripada perairan negara.
Menurutnya, pasukan operasi turut menasihatkan semua pati terbabit supaya tidak lagi memasuki perairan negara secara salah. – Info X