Search

Lelaki cekik jiran, ugut korek mata ditahan

July 24, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki warga emas ditahan polis selepas disyaki mencederakan dan mengugut jirannya dalam kejadian di Kampung Wallace Bay, di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi itu, suspek bsrusia 64 tahun dikatakan memanggil mangsa sebagai ‘anjing’ sebelum mencekik leher dan menarik baju mangsa selain mengeluarkan ugutan mahu mencederakannya.

Difahamkan, suspek turut mengancam dengan berkata ‘Ndak lama mata kamu saya korek’ menyebabkan mangsa, lelaki warga emas berusia 63 tahun tampil membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, susulan laporan yang diterima, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, menjalankan siasatan.

“Hasil siasatan pasukan polis menahan suspek di hadapan pejabat BSJ IPD Tawau, kira-kira jam 10.15 pagi semalam.

“Suspek dipercayai terbabit dalam kes mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kini dalam siasatan lanjut pihak polis. – Info X