LABUAN: Seorang ketua penolong pegawai perubatan direman empat hari selepas disyaki menyalahgunakan kedudukan untuk memberikan kerja kepada syarikat milik isterinya.
Suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu direman sehingga 28 Julai ini selepas perintah dikeluarkan Majistret Kasyfurrahman Abang Ahmad di Mahkamah Sesyen Labuan, pagi tadi.
Menurut sumber, suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Labuan kira-kira jam 5.40 petang, semalam.
“Suspek dipercayai menyalahgunakan jawatannya bagi mendapatkan kerja berkaitan perkhidmatan forwarding atau yang berkaitan pengurusan logistik di tempatnya bertugas sekitar 2023 dan 2024.
“Kerja-kerja yang membabitkan nilai kira-kira RM20,000 berkenaan diberikan kepada syarikat milik isterinya,” kata sumber itu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Labuan, Muhammat Azis Malmod ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – Info X