Search

125 PATI ditahan dalam operasi penguatkuasaan di Sandakan

July 25, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Seramai 125 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di sekitar daerah ini yang dijalankan selama dua bermula semalam.

Operasi yang bermula jam 1 pagi Khamis hingga 7 pagi tadi itu membabitkan kekuatan 54 pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Penguatkuasaan Sandakan, Lahad Datu, Ranau dan Kota Kinabalu.

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata operasi itu dibuat hasil risikan awal dan maklumat awam, menyasarkan beberapa lokasi sekitar daerah berkenaan.

“Dalam pemeriksaan terhadap 212 individu, seramai 125 PATI ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Antara yang ditahan ialah 35 lelaki dewasa, 34 wanita dewasa, 27 kanak-kanak lelaki dan 29 kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, antara kesalahan dikenal pasti termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah mengikut Seksyen 6(1)(c) serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, semua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Sandakan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.

“Operasi ini sebahagian daripada tindakan berterusan jabatan dalam mengesan, menangkap dan memindahkan warga asing yang melanggar undang-undang negara.

“Selain Akta Imigresen, kita juga menjalankan siasatan di bawah Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada majikan agar tidak melindungi atau menggaji PATI tanpa dokumen sah.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang bersubahat. Orang ramai juga digesa menyalurkan maklumat berkaitan PATI bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya.

Tambah beliau, JIM Sabah akan meneruskan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terus terpelihara. – Info X