KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Masidi Manjun menekankan perlunya rakyat negeri ini berfikiran seperti rakyat Sarawak jika mahu kestabilan politik seperti di negeri jiran itu.
Beliau berkata, bagi memastikan perkara itu dicapai, rakyat negeri ini perlu mengutamakan kesinambungan usaha yang dibuat oleh kerajaan hari ini.
“Kita sering membandingkan Sabah dengan Sarawak, tapi kalau kita mahu menjadi macam Sarawak, kita mesti ada pemikiran dan juga sikap macam orang Sarawak, utamakan kestabilan politik.
“Utamakan kesinambungan atau penerusan kepada usaha-usaha yang dibuat. Masalah Sabah ialah kerajaan sering berganti dan kita dapat lihat kalau di Sarawak Ketua Menteri atau Premier baru yanh keenam, Sabah sudah ada 16 Ketua Menteri.
“Ini sendiri cerminan berapa tidak stabilnya kedudukan politik dan kerajaan sering bertukar ganti. Jadi bila kerajaan sering bertukar-ganti, kita tidak ada masa dan gunakan masa untuk menumpukan perhatian kepada penyelesaian masalah asas di Sabah dan untuk meneruskan pembangunan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Serentak Pergerakan Wanita, Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat sempena Persidangan Agung Tahunan parti itu, di SICC pada Sabtu.
Katanya, bagi melaksana dan menerapkan pemikiran serta sikap itu kepada rakyat Sabah, aspek paling utama ialah mesti sayang kepada negeri mereka.
Jelasnya, perkara remeh-temeh yang menjejaskan kestabilan politik perlu dihindarkan, sebaliknya memikirkan sekarang adalah masa yang penting ke arah kestabilan politik dan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Ini kadang-kadang masalahnya terlalu banyak ego dalam sistem politik kita. Semua mahu menjadi pemenang tetapi tidak ramai yang mahu bekerja dan ‘mengotorkan tangan mereka,” katanya.
Masidi turut mengakui, bagi mencapai seperti Sarawak, satu-satunya masalah ialah untuk menyatukan parti tempatan.
Sementara itu, Masidi menyifatkan cadangan menetapkan tempoh Ketua Menteri kepada dua penggal sudah dipersetujui Kabinet Sabah.
“Sebenarnya Kerajaan Negeri Sabah dalam mesyuarat Kabinet sebelum ini bersetuju agar jawatan Ketua Menteri juga dihadkan kepada dua penggal,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu sama dengan cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri. – Info X