Search

17 rumah musnah terbakar di Kinarut

July 27, 2025

Info X Reporters

KINARUT: Sebanyak 17 rumah musnah dalam kebakaran di Skim Penempatan Kinarut, di sini, malam tadi.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu selepas semua penghuni sempat menyelamatkan diri.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Muhammad Taqiuddin Victor Doon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.22 malam.

Katanya, seramai 39 pegawai dan anggota dari lima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu Papar dengan dibantu BBP Penampang, Putatan, Kota Kinabalu dan Tuaran digerakkan ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran membabitkan 17 rumah yang terbakar sepenuhnya.

“Operasi pemadaman dilakukan menggunakan lima pancutan dengan sumber air dari jentera,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran.

Antara rumah yang terbakar di Skim Penempatan Kinarut, Papar.

Menurutnya, api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 12.25 tengah malam.

“Operasi pemadaman dijalankan dengan pantas bagi mengawal api daripada merebak ke kediaman berhampiran.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.06 pagi. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Operasi pemadaman turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sabah Electricity. – Info X