TAWAU: Seramai 40 individu termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pengedar dadah ditahan dalam operasi bersepadu Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di daerah ini dan Kalabakan, baru-baru ini.
Operasi selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Julai lalu itu menyasarkan beberapa lokasi panas antaranya Jeti Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Lama, Sekatan Jalan Raya (SJR) Kalabakan serta beberapa penempatan di pinggir bandar dan kampung.
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, operasi turut menumpukan laluan ketirisan berhampiran sempadan daratan dan perairan.
“Hasil pemeriksaan terhadap 146 individu, 26 rumah dan premis perniagaan serta tiga kenderaan, pasukan operasi berjaya menahan 21 PATI warga Filipina dan Indonesia atas kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Semua mereka diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, dalam operasi sama, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama Balai Polis Kalabakan turut menahan 19 individu terbabit kes dadah, termasuk dua yang disyaki pengedar.
“Turut dirampas ialah 125.64 gram syabu, 41 botol cecair ketum berkapasiti 1.5 liter dan wang tunai RM950.
“Saringan air kencing dijalankan terhadap semua tangkapan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952,” katanya.

Sementara itu, katanya Sabah Electricity (SE) turut memotong sambungan elektrik haram yang menyebabkan kerugian dianggarkan RM750,000.
“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga mengeluarkan 35 saman dan dua notis pemeriksaan kenderaan atas pelbagai kesalahan trafik,” katanya.
Victor berkata, operasi itu sebahagian daripada pelaksanaan Op SANGGAH ESSCOM yang menggabungkan kekuatan pelbagai agensi keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).
“ESSCOM akan terus memperhebat operasi seumpama ini bagi mengekang ancaman jenayah rentas sempadan serta menjamin keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya. – Info X