Search

Ibu maut, anak cedera dilanggar lari

July 28, 2025

Info X Reporters

PENAMPANG: Seorang wanita bertarung nyawa lebih lapan jam sebelum disahkan meninggal dunia selepas dipercayai dilanggar lari dalam kejadian di Jalan Kampung Kimbangan, di sini, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa berusia 38 tahun bersama anak lelakinya berusia satu tahun lima bulan sedang berjalan kaki sebelum dilanggar sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, kejadian menyebabkan mangsa parah dan dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu, untuk rawatan kecemasan.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 3.15 pagi tadi ketika dirawat di wad kecemasan HQE I, Kota Kinabalu.

“Anaknya pula kini dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pegawai Penyiasat Trafik IPD Penampang menjalankan siasatan di lokasi kemalangan mangsa dilanggar sebuah kenderaan yang melarikan diri dari tempat kejadian. – Pix/IPD Penampang

Menurutnya, polis kini sedang mengesan pemandu kenderaan yang terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Sammy berkata pihaknya menyeru orang awam yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berhubung kenderaan terbabit untuk tampil membantu siasatan.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133,” katanya. – Info X