Search

Dakwaan pemimpin terkejut kerjasama GRS-PH satu cubaan gugat perpaduan GRS – Ardino

July 29, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang pemimpin kanan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyifatkan laporan sebuah akhbar kononnya beberapa pemimpin parti komponen GRS terkejut dengan pengumuman kerjasama GRS – Pakatan Harapan (PH) sebagai tidak wajar.

Bendahari Agung GRS, Ardino Diris menyifatkan laporan bersifat spekulasi yang hanya bersandarkan sumber tidak dinamakan itu sebagai satu cubaan untuk menggugat kestabilan dan perpaduan dalaman GRS.

“Adalah tidak wajar dan tidak beretika untuk mengeluarkan laporan berasaskan sumber yang enggan dikenali, seolah-olah mewakili pendirian keseluruhan gabungan.

“GRS sentiasa mengamalkan musyawarah dan perbincangan dalam membuat keputusan penting, termasuk soal kerjasama pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Jelasnya, kenyataan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor bahawa kerjasama dengan PH telah dibincangkan adalah tepat dan berasaskan realiti semasa perbincangan dalaman GRS.

“Sebagai sebuah gabungan yang matang, GRS tidak akan membuat sebarang pengumuman besar tanpa melalui proses perbincangan strategik bersama kepimpinan gabungan.

“Justeru, mana-mana pandangan peribadi yang disuarakan tanpa nama tidak mencerminkan pendirian rasmi parti-parti komponen,” katanya.

Beliau menegaskan, GRS tidak tunduk kepada tekanan luar, sebaliknya berpegang kepada kepentingan rakyat dan kestabilan politik Sabah dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.

“Kita perlu bergerak sebagai satu pasukan. Kerjasama strategik dengan PH adalah demi memastikan Sabah terus dipimpin oleh kerajaan yang stabil, inklusif dan progresif. Perpecahan hanya akan merugikan rakyat,” katanya.

Mengulas dakwaan kononnya beberapa parti seperti STAR, PBS, SAPP dan USNO lebih cenderung mahu GRS bertanding secara solo, Ardino berkata perbezaan pandangan dalam politik adalah biasa, namun semua parti kekal dalam semangat muafakat GRS.

“GRS tidak pernah menghalang pandangan berbeza. Namun apabila keputusan bersama sudah dicapai, semua pihak harus akur dan memberi sokongan sepenuhnya untuk kejayaan bersama,” katanya.

Pada Ahad, Hajiji yang juga Ketua Menteri mengumumkan bahawa satu persefahaman dicapai antara GRS dan PH bagi menghadapi PRN17, sebagai langkah memperkukuh blok kerajaan sedia ada yang stabil dan diyakini rakyat.

GRS yang diterajui Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) turut disertai PBS, STAR, SAPP, USNO, PCS, LDP dan Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), manakala PH Sabah dianggotai PKR, DAP, UPKO dan Amanah. – Info X