Search

Kampung Angkat MADANI: UMS bantu tingkat kualiti hidup penduduk Rampayan Laut

July 29, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kampung Rampayan Laut, Manggatal, di sini, dijadikan kampung angkat Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi program Kampung Angkat MADANI Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata program itu sebagai inisiatif untuk membantu meningkatkan taraf kehidupan komuniti khususnya penduduk di Kampung Rampayan.

Katanya, menerusi program itu, sebanyak lima projek pembangunan fizikal utama bakal dilaksanakan di bawah penyelarasan Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat (PKLM) untuk manfaat warga kampung.

“Antara projek yang akan dilaksanakan ialah pembinaan pintu gerbang di kampung ini yang akan menjadi simbol kebanggaan dan identiti baharu serta menjadi mercu tanda yang melambangkan aspirasi dan semangat baharu komuniti.

“Selain itu, turut akan dibina ialah sebuah dewan terbuka, iaitu ruang serbaguna yang bakal menjadi nadi aktiviti komuniti untuk berkumpul, bermesyuarat, merancang dan menyambut pelbagai majlis penting dalam suasana yang lebih selesa dan tersusun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Program Kampung Angkat MADANI di kampung itu, baru-baru ini.

Kasim berkata, pembinaan pusat komuniti turut dilaksanakan sebagai satu ruang inklusif untuk memperkasa ilmu, kemahiran dan potensi anak-anak Kampung Rampayan.

“Pemasangan lampu solar juga akan dilaksanakan yang mana usaha ini bukan saja menyelesaikan keperluan pencahayaan waktu malam, malah menjadikan kampung ini lebih selamat dan mesra alam menerusi teknologi tenaga lestari.

“Projek kelima adalah pembinaan jeti nelayan, iaitu kemudahan asas yang amat penting bagi menyokong aktiviti nelayan setempat, khususnya dalam memudahkan pergerakan keluar masuk bot, pendaratan hasil laut dan urusan harian komuniti nelayan,” katanya.

Kasim berkata, pelaksanaan keseluruhan projek itu dibuat mengikut garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kewangan dan KPT membabitkan peruntukan sehingga RM1 juta.

“Ini adalah pelaburan yang cukup besar dan universiti amat bertekad untuk memastikan setiap sen yang dibelanjakan akan memberi pulangan yang setimpal kepada masyarakat dalam bentuk infrastruktur yang berkualiti, program yang bermanfaat dan pembangunan kapasiti yang berterusan.

“Program sebegini mampu memastikan bahawa tiada kampung yang ketinggalan dalam arus pembangunan nasional, khususnya Kampung Rampayan kerana lokasinya yang strategik iaitu berdekatan dengan bandar serta mempunyai pelbagai potensi ekonomi untuk dibangunkan.

“Justeru itu, saya menyeru agar seluruh penduduk kampung sentiasa memberikan sokongan, menjaga segala kemudahan serta memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan, khususnya dalam program-program pemindahan ilmu yang akan dilaksanakan nanti,” katanya.

Pada majlis itu, Kasim menyempurnakan simbolik pecah tanah pembinaan dewan terbuka di satu tanah lapang milik kerajaan di kampung berkenaan.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof Ir Dr Rosalam Sarbatly; Bendahari UMS, Datuk Badrul Hisham Ismail; Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Tiyunin; Penasihat Undang-Undang UMS, Ag Suhaizam Bungso; Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof Dr Coswald Stephen Sipaut @ Mohd Nasri; Pengarah PKLM, Dr Ag Sufiyan Abd Hamid; Ketua Kampung Rampayan, Amberen Aliamat dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rampayan, Amlan Jais. – Info X