KOTA KINABALU: Bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Kinarut, Papar, Datin Rosnih Nasir, tampil memberi penjelasan mengenai tuduhan mengaitkan dirinya dalam kes kematian pelajar tingkatan satu sekolah itu, baru-baru ini.
Menerusi satu kenyataan di Facebook beliau pada Selasa, isteri Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud itu, menjelaskan beliau sudah bersara pada 22 November tahun lalu setelah berkhidmat kira-kira sembilan bulan.
“Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera kepada semua rakan-rakan FB yang saya kasihi.
“Saya terpanggil untuk memberikan penjelasan berhubung fitnah dan kekeliruan yang sedang tular di media sosial melibatkan nama saya dalam insiden menyayat hati membabitkan Allahyarhamah adik Zara Qairina.
“Untuk makluman semua, saya hanya berkhidmat sebagai Pengetua SMKA Tun Datu Mustapha Limauan, Papar, Sabah dari 20 Mac hingga 22 November 2024. Selepas itu, saya telah bersara dan tidak lagi terlibat dalam pentadbiran sekolah berkenaan.
“Maka, saya menafikan sekeras-kerasnya sebarang dakwaan yang mengaitkan saya secara langsung atau tidak langsung dengan peristiwa tragik yang berlaku baru-baru ini. Perkara ini amat menyedihkan saya sebagai ibu dan juga sebagai seorang pendidik,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Zara Qairina atas pemergian pelajar berkenaan selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah berkenaan pada awal pagi 16 Julai lalu.
“Semoga roh anakanda ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan keluarganya diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian ini.
“Saya menyatakan sokongan penuh kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan terperinci dan menyeluruh berhubung kes ini. Saya percaya kebenaran akan terserlah apabila siasatan selesai,” katanya.
Semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dalam satu kenyataan berkata polis masih menjalankan siasatan berhubung kematian seorang pelajar perempuan terbabit.
Mangsa, Zara Qairina Mahathir, 13, dilaporkan ditemui kira-kira jam 3 pagi, 16 Julai lalu, dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), di sini, untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, mangsa dilaporkan meninggal dunia pada jam 1 tengah hari, keesokan harinya.
Berikutan insiden itu, pelbagai spekulasi tular di media sosial mengaitkan kejadian itu dengan buli, selain ada pihak mendakwa wujud campur tangan VVIP bagi menutup kes berkenaan.
Ramai netizen menyatakan kesedihan dan bersolidriti bersama keluarga arwah bagi menuntut keadilan untuk Zara Qairina. – Info X