Search

Eksesais Taming Sari uji keupayaan TLDM hadapi ancaman maritim

July 29, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kesiapsiagaan dan kekuatan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diuji menerusi Eksesais Taming Sari Siri 23/25 yang dilaksanakan di perairan Laut China Selatan, Selasa lalu.

Eksesais berskala besar itu menyaksikan pelancaran peluru berpandu dan torpedo secara langsung, sekali gus menguji keupayaan taktikal serta teknikal armada TLDM dalam senario peperangan sebenar.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, latihan itu bukan sekadar rutin, sebaliknya keperluan utama bagi memastikan kesiapsiagaan anggota dan keberkesanan aset pertahanan negara.

“Eksesais ini menguji bukan sahaja kekuatan aset, tetapi juga ketahanan mental dan fizikal anggota yang baru serta berpengalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan eksesais berkenaan.

Antara yang dilaksanakan ialah pelancaran peluru berpandu Exocet oleh KD Lekiu dan KD Lekir, serta pelancaran peluru berpandu Exocet SM39 oleh kapal selam KD Tunku Abdul Rahman.

Manakala penembakan torpedo dari kapal selam KD Tun Razak dilakukan dalam konfigurasi peperangan sebenar.

Menurutnya, peluru berpandu dilancarkan pada jarak lebih 30 kilometer manakala torpedo pula pada jarak kurang 10 kilometer.

“Turut digerakkan dalam latihan ialah KD Seri Indera Sakti, KD Kelantan, KD Selangor, KD Badik, dan KD Terengganu bagi tujuan pemantauan keselamatan kawasan latihan.

“Kita turut menilai status semasa aset TLDM termasuk yang sudah berusia dan juga yang masih dalam pembinaan,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 17 kapal TLDM, dua kapal selam, dua pesawat TUDM dan tiga helikopter digunakan dalam eksesais itu, membabitkan lebih 1,400 pegawai dan anggota keseluruhan.

“Latihan turut menjadi medan penting menguji koordinasi TLDM mengendalikan pelbagai aset secara serentak termasuk permukaan, bawah permukaan dan udara.

“Eksesais ini juga selari dengan pelaksanaan pelan transformasi 15-to-5 TLDM, yang bertujuan menstrukturkan semula aset kepada lima jenis kapal utama,” katanya.

Tambah beliau lagi, peluru berpandu dan torpedo yang digunakan adalah aset bernilai tinggi dan penggunaannya memerlukan perancangan serta pengurusan rapi.

Turut hadir menyaksikan eksesais ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr) Zulhelmy Ithnain; dan Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman. – Info X