TAWAU: Polis berjaya menahan seorang lelaki warga asing yang melarikan motosikal dipinjamnya daripada seorang pengawal keselamatan di Semporna, dalam serbuan tengah malam tadi.
Suspek berusia lingkungan 20-an itu ditahan kira-kira jam 12.31 tengah malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di Semporna apabila suspek memperdaya mangsa yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah kebangsaan dengan berpura-pura ingin meminjam motosikal rakan sekerja mangsa.
“Disebabkan rakan sekerja mangsa belum tiba, suspek kemudian meminta meminjam motosikal milik mangsa sendiri kira-kira jam 9.30 pagi.
“Mangsa yang percaya dengan niat baik suspek menyerahkan kunci motosikal jenis Modenas, namun motosikal itu tidak dipulangkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Semporna semalam, selepas menyedari dirinya ditipu.
“Susulan maklumat diterima, sepasukan polis dari IPD Tawau berjaya mengesan suspek dan merampas semula motosikal berkenaan.
“Suspek juga gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri dan disyaki memasuki negara ini secara haram,” katanya.
Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai individu tidak dikenali, terutama dalam urusan melibatkan harta benda. – Info X