Search

Kes kematian Zara Qairina: Siasatan hampir selesai, 60 saksi dipanggil

July 31, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis kini berada di fasa akhir siasatan berhubung kes kematian pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar, yang ditemui jatuh dari bangunan asrama sekolah berkenaan, baru-baru ini.

Setakat ini, seramai 60 saksi termasuk rakan dan guru sudah dirakam keterangan oleh pasukan siasatan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, kertas siasatan kini sudah dihantar ke Bukit Aman untuk penelitian terakhir sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara bagi tindakan lanjut.

“Siasatan untuk kes ini berada di peringkat akhir yang mana kenyataan kira-kira 60 saksi telahpun dirakam oleh pihak polis dan juga beberapa keterangan-keterangan lain yang telah kita ambil.

“Alhamdulilah, buat masa sekarang, kertas siasatan ini telah diserahkan kepada bawa ke Bukit Aman untuk pemerhatian dan juga penelitian akhir sebelum dirujuk kepada peguam negara.

“Semua saksi membabitkan pelajar, ibu bapa dan kakitangan sekolah termasuk tiga pelajar yang dikaitkan dengan mangsa (Wana, Dedeng, Tomboi),” katanya dalam sidang media di lobi IPK Sabah, di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan siasatan kini menjurus kepada dua elemen utama iaitu punca kematian dan keadaan persekitaran sebelum insiden berlaku.

“Kejadian dilaporkan berlaku pada 16 Julai lalu, manakala pelajar terbabit disahkan meninggal dunia keesokan harinya.

“Pada 17 Julai, saya telah berbincang dengan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Azmi Abd Rahim sebelum pasukan khas dari IPK digerakkan ke lokasi untuk membantu siasatan.

“Memandangkan pelajar-pelajar terkesan secara emosi dan trauma, kita turut melibatkan pakar kaunseling dalam sesi rakaman keterangan bagi memastikan siasatan berjalan lancar dan adil,” katanya.

Mengulas dakwaan kononnya wujud unsur buli, beliau tidak menolak sebarang kemungkinan, namun menyerahkan kepada Bukit Aman untuk analisis menyeluruh.

“Kita tidak menolak isu buli itu mungkin berlaku. Siasatan juga terarah kepada fakta isu berkenaan. Seperti yang saya nyatakan tadi bahawa kertas siasatan ini telah dihantar ke Bukit Aman untuk penelitian dan juga kajian menyeluruh.

“Jadi pada ketika ini, kita serahkan kepada Bukit Aman untuk memberikan pandangan lanjut berkaitan dengan siasatan kes ini sebagai pihak yang tertinggi dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga yang lebih mempunyai kemahiran-kemahiran,” katanya.

Sementara itu, Jauteh turut menafikan dakwaan kononnya salah seorang anaknya bersekolah di asrama berkenaan.

“Tidak pernah ada anak saya bersekolah di sekolah itu. Tuduhan sebegitu tidak wajar dan hanya menambah kekeliruan. Saya tegaskan, tidak ada anak saya yang sedang atau pernah belajar di situ.

“Berkaitan dengan dakwaan bahawa ada anak orang berpengaruh yang bersekolah di sana termasuk diri saya sendiri… saya nyatakan di sini bahawa tidak pernah ada anak saya yang bersekolah di sekolah itu.

“Jadi ini bererti bahawa ada netizen yang sengaja menimbulkan sesuatu yang tidak sihat kepada perkara ini,” katanya.

Menyentuh dakwaan kononnya pelajar itu anak kepada individu berpengaruh, beliau berkata perkara itu tidak menjadi fokus siasatan.

“Saya tidak dapat mengetahui secara keseluruhan sebab ramai pelajar di situ. Jadi yang itu kita tidak membuat siasatan berkaitan dengan ini anak siapa,” katanya.

Katanya lagi, siasatan kes ini dijalankan dengan penuh profesionalisme dan ketelusan, mengambil kira emosi pelajar yang menjadi saksi.

“Netizen mahu siasatan yang menyeluruh. Itu sebab kita memgambil sedikit waktu untuk menyiapkan siasatan ini. Membabitkan 60 saksi dan juga semua saksi ini pun kita tidak dapat ambil secara terus.

“Kita juga memikirkan bahawa saksi-saksi ini adalah pelajar di sekolah itu yang mungkin hanya melihat atau mendengar ataupun berkawan dengan mangsa.

“Jadi kalau kita buat siasatan secara tidak profesional, sudah tentulah ini akan menambahkan trauma mereka terhadap keadaan yang ada sekarang ini. Itu sebab kita buat secara adil kepada semua pihak,” katanya.

Mangsa, Zara Qairina Mahathir, 13, dilaporkan ditemui kira-kira jam 3 pagi, 16 Julai lalu, dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), di sini, untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan meninggal dunia pada jam 1 tengah hari, keesokan harinya.

Berikutan insiden itu, pelbagai spekulasi tular di media sosial mengaitkan kejadian itu dengan buli, selain ada pihak mendakwa wujud campur tangan VVIP bagi menutup kes berkenaan.

Ramai netizen menyatakan kesedihan dan bersolidriti bersama keluarga arwah bagi menuntut keadilan untuk Zara Qairina. – Info X