LAHAD DATU: Hanya kerana tidak berpuas hati gitar miliknya dipinjamkan kepada sepupu, seorang lelaki tergamak mengamuk dan mengugut mahu membunuh bapanya sendiri menggunakan parang di Kampung Jawa, Jalan Segama, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 6.15 petang itu, suspek berusia 41 tahun bertindak agresif terhadap warga emas berusia 75 tahun itu selepas gagal mengawal kemarahan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, susulan laporan, polis menjalankan Op Cantas pada jam 11 malam hari sama sebelum menahan suspek terbabit.
“Turut dirampas sebilah parang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
“Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, siasatan mendapati suspek memiliki lima rekod jenayah lampau dan kini direman bagi siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya. – Info X