KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit konkrit di Jalan Sepanggar, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari arah Indah Permai menuju ke kawasan Tebobon sebelum dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati mangsa tercampak ke dalam parit di bahagian tengah pembahagi jalan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
“Motosikal mangsa juga mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, Kasim berkata orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membantu siasatan.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Inspektor Roystone Ubak di talian 016-3130153,” katanya. – Info X