KOTA KINABALU: Catuan bekalan elektrik yang dijadual bermula esok dapat dielak selepas PETRONAS menjadualkan semula kerja penyelenggaraan di Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis ke 5 Ogos hingga 11 Ogos.
Sebelum ini, kerja penyelenggaraan dijadual bermula 1 Ogos hingga 7 Ogos.
Perubahan itu bermakna PETRONAS boleh meneruskan penyaluran bekalan gas sehingga 4 Ogos ini ke dua loji janakuasa bebas (IPP) di Kimanis bagi mengoperasikan set janakuasa di loji terbabit.
Menerusi satu kenyataan, Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) memaklumkan keputusan PETRONAS meminda tarikh itu juga membolehkan dua loji IPP terbabit ada masa lagi untuk menjalankan proses penukaran operasi daripada gas kepada diesel.
“Penjadualan semula ini membolehkan dua loji janakuasa milik IPP menjalankan proses penukaran operasi daripada gas kepada bahan api diesel dengan lebih lancar.
“Proses ini memerlukan perancangan dan pelaksanaan yang teliti bagi memastikan kesinambungan bekalan tenaga kepada pengguna,” katanya.
Kenyataan itu menyebut, Sabah Electricity menyambut baik kerjasama semua pihak dan berharap agar IPP yang terlibat dapat melaksanakan persiapan teknikal dengan cekap dan mengikut jadual bagi memastikan kestabilan sistem bekalan elektrik di Sabah.
Pada Rabu, SE menganggarkan kira-kira 0.6 juta isi rumah di Sabah dan Labuan dijangka terjejas berikutan penurunan kapasiti janaan tenaga elektrik selama seminggu, bermula 1 Ogos.
Ketua Pegawai Eksekutif SE, Datuk Ir Mohd Yaakob Jaafar, berkata penurunan sehingga 195MW itu disebabkan penghentian sementara bekalan gas oleh PETRONAS bagi kerja penyelenggaraan pelantar gas luar pesisir dan terminal gas di Kimanis bermula 1 Ogos hingga 7 Ogos.
Berikutan itu, katanya sepanjang tempoh berkenaan SE terpaksa melaksanakan catuan yang dijangka membabitkan seramai 200,000 pengguna berdaftar SE dan lebih 600,000 isi rumah di seluruh Sabah dan Labuan.
Beliau berkata, penghentian sementara bekalan gas oleh PETRONAS itu menjejaskan dua loji janakuasa bebas (IPP) di Kimanis iaitu Kimanis Power Sdn Bhd (255MW) dan SPR Energy (100MW) yang bergantung kepada gas PETRONAS sebagai bahan api utama. – Info X