KOTA KINABALU: Kerajaan negeri digesa segera mengambil tanggungjawab memperkukuh akses logistik dan kemudahan kesihatan di negeri ini bagi memudahkan perhubungan dan memastikan fasiliti kesihatan yang selesa serta selamat.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata dua perkara asas itu perlu diberikan perhatian sebagai langkah sokongan penempatan pegawai perubatan lantikan tetap yang diwajibkan memilih sekurang-kurangnya satu penempatan di Sabah atau Sarawak.
“Merujuk kepada pengumuman Kementerian Kesihatan (KKM) yang mewajibkan pegawai perubatan lantikan tetap memilih sekurang-kurangnya satu penempatan di Sabah atau Sarawak melalui sistem e-placement 2.0, saya menyambut baik langkah ini sebagai pendekatan jangka sederhana untuk memperbetulkan ketidakseimbangan agihan tenaga kesihatan di Malaysia.
“Namun demikian, langkah ini hanya akan berhasil sekiranya kerajaan negeri Sabah segera mengambil tanggungjawab memperkukuh dua perkara asas iaitu akses logistik yang efisien dan kemudahan infrastruktur kesihatan yang selesa dan selamat.
“Sabah bukan kekurangan semangat penjawat awam, tetapi sering kali gagal menyediakan keperluan asas yang menjadi prasyarat perkhidmatan berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, ramai pegawai perubatan dari Semenanjung enggan atau berat hati untuk menerima penempatan di Sabah bukan kerana enggan berkhidmat tetapi disebabkan prasarana di lokasi tugas yang amat terhad.
Katanya, dengan masalah jalan yang rosak, kuarters daif, bekalan air dan elektrik tidak konsisten serta akses komunikasi yang lemah menyebabkan ada pegawai perubatan yang enggan ke Sabah.
“Keadaan ini bukan saja menjejaskan moral dan motivasi petugas kesihatan, malah turut mengancam kelangsungan khidmat kepada masyarakat luar bandar dan pedalaman.
“Dalam jangka masa panjang, ia akan menghakis kepercayaan terhadap sistem kesihatan awam dan memperluas lagi jurang perkhidmatan antara wilayah,” katanya
Justeru itu, beliau mendesak Kerajaan Negeri Sabah untuk menyediakan pelan tindakan khusus bagi menambah baik kemudahan kuarters, akses jalan ke fasiliti kesihatan pedalaman dan kelengkapan asas di klinik serta hospital daerah.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga perlu menubuhkan satu jawatankuasa khas bersama KKM bagi mengenal pasti lokasi kritikal yang memerlukan peningkatan segera agar pegawai lantikan baharu tidak berasa dihantar ke ‘zon pengabaian’.
“Jika kerajaan negeri serius mahu memastikan Sabah tidak terus ketinggalan dari segi agihan tenaga pakar dan pegawai perubatan, maka tumpuan mesti diberi bukan hanya kepada angka pelantikan, tetapi kepada kualiti penerimaan perkhidmatan.
“Tanpa penyediaan sokongan asas yang sistematik dan berdaya huni, langkah mewajibkan penempatan di Sabah berisiko menjadi satu paksaan tanpa hasil jangka panjang.
“Sabah wajar menjadi medan perkhidmatan yang membina kerjaya dan semangat khidmat awam bukan medan ‘ujian ketahanan’ semata-mata,” katanya. – Info X