Search

Siasatan kes kematian Zara telah lengkap, akan diserah ke AGC – Saifuddin

August 2, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis sudah melengkapkan siasatan kes kematian pelajar berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir, yang dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu.

Perkara itu didedahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kepada media selepas menghadiri perbarisan tamat latihan Leftenan Muda dan Laskar Muda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah, di Kuantan, pada Sabtu.

“Polis telah menamatkan siasatan dan merakamkan keterangan daripada kira-kira 60 saksi bagi membantu menjelaskan punca kematian Zara. Kertas siasatan dijangka akan dikemukakan kepada AGC (Jabatan Peguam Negara) selewat-lewatnya minggu depan.

“Tindakan selanjutnya bergantung kepada keputusan pihak AGC,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu.

Kes Zara, yang merupakan pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, didakwa ada kaitan dengan kes buli.

Pada 31 Julai lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan pihak polis tidak menolak kemungkinan unsur buli terbabit dalam kejadian berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Saifuddin berkata permohonan yang dibuat oleh ibu Zara, Noraidah Lamat, untuk menggali semula kubur anaknya bagi tujuan inkues dibenarkan mengikut peruntukan undang-undang.

“Itu adalah inisiatif ibunya melalui peguam mereka. Pihak polis memberi tumpuan kepada aspek siasatan dengan menjalankan tanggungjawab memanggil saksi, melengkapkan kertas siasatan, mengenal pasti elemen penting dan menentukan sama ada wujudnya motif dalam kes ini,” katanya. – Info X