Search

PRN17: PH berdepan ‘cinta tiga segi’

August 3, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui Pakatan Harapan (PH) umpama berdepan ‘cinta tiga segi’ dalam isu kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ia berkaitan kerjasama di antara PH dengan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang meletakkan PH di tengah-tengah, sebagai gabungan yang menentukan halatuju kerjasama.

“Cinta itu menyenangkan dan ada sedikit duka, tapi itulah maknanya cinta,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan Amanat Khas Presiden, Gerak Gempur Menang PRN Sabah anjuran PKR, di sini, pada Ahad.

Sementara itu, Pengerusi PH itu berkata PH kini sedang dengan BN dan GRS bagi mencapai kata sepakat mengelak pertembungan di antara tiga gabungan itu.

Beliau berkata, ia adalah persefahaman ketika ini yang cuba dilaksanakan bagi memastikan ketiga-tiga gabungan dapat bekerjasama.

“Persefahaman kita sekarang ialah kita cuba buat ketetapan agar tiada pertembungan di antara tiga gabungan ini.

“Kita cuba mengelak untuk memasuki pertempuran antara sesama sendiri disebabkan begitu banyak perbezaan.

“Tapi, saya tidak mahu buat andaian awal kerana niat kita ialah mahu pastikan ada persefahaman penuh di antara ketiga-tiga pihak,” katanya

Presiden PKR itu juga tidak menolak kemungkinan timbul kekeliruan rakyat di kawasan tertentu yang berdepan konflik berhubung isu kerjasama di antara PH, BN dan GRS.

Bagaimanapun, katanya beliau mahu menyampaikan mesej kepada pimpinan ketiga-tiga gabungan supaya mementingkan persefahaman berbanding perkara yang menjadi keutamaan masing-masing.

Mengenai kedudukan PH, Anwar berkata tumpuan kini adalah untuk memastikan gabungan itu dapat memainkan peranan yang membina di Sabah.

“Apa yang penting bagi PH ialah untuk mendapatkan peranan yang membina dan memastikan kehadirannya dapat meneruskan agenda reformasi.

“Kita juga perlukan kerjasama semua parti bagi memastikan kestabilan, keamanan dan kerajaan negeri yang kuat yang penting untuk bekerjasama baik dengan Persekutuan untuk manfaat Sabah dan Malaysia,” katanya. – Info X