Search

‘Waig’ dari Jetama untuk stamina pemain Sabah FC

August 4, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jetama Sdn Bhd sekali lagi tampil menaja air minuman rasmi Sabah FC untuk saingan Liga Super musim 2025-2026 yang dijadual bermula pada akhir bulan ini.

Kali ini, syarikat konsesi air itu memperkenalkan jenama baharu air minuman keluarannya yang diberi nama ‘Waig’ atau bermaksud air dalam bahasa Dusun.

Mengulas inisiatif syarikat itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Ir Shahelmey Yahya menyifatkan pembabitan Jetama sebagai tanda komitmen dalam menyokong perkembangan bola sepak Sabah.

Syarikat itu, katanya menaja air ‘Waig’ sepanjang saingan Liga Super musim ini membabitkan jumlah penajaan sebanyak RM1.5 juta.

“Komitmen dan sokongan yang diberikan pada musim ini dan musim-musim sebelumnya amat dihargai dan menjadi tulang belakang kepada kejayaan pasukan Sabah FC.

“Dengan penajaan ini, logo ‘Waig’ iaitu produk air botol baharu jenama JETAMA akan dipaparkan secara rasmi di jersi pasukan Sabah FC.

“Semoga kerjasama ini akan menjadi pencetus kejayaan kepada kedua-dua pihak serta menjadi silaturahim jangka panjang yang saling memberi manfaat positif.

“Saya berharap akan lebih banyak lagi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan swasta yang tampil memberi tajaan dan sokongan kepada pasukan bola sepak kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian di antara Jetama Sdn Bhd dan Sabah FC bagi penajaan air minuman rasmi musim ini, di sini, pada Isnin.

Hadir sama Pengerusi Jetama, Datuk Yusof Abdul Manan; Ketua Pegawai Eksekutif Jetama, Datuk Ahmad Naim Uddang; Pengurus Besar Sabah FC, Mohd Joh Wid dan Setiausaha Agung SAFA, Shamsuddin Mohd Shah.

Terdahulu, Ahmad Naim berkata pihaknya sekali lagi tampil menaja air minuman kepada skuad Sang Badak selepas menjadi penaja utama Sabah FC pada musim lalu.

Katanya, penajaan musim ini bagi memperkenalkan produk air minuman Waig yang bukan hanya komitmen korporat tetapi satu manifestasi sokongan pihaknya terhadap pembangunan belia dan sukan.

“Dalam dunia sukan, air bukan hanya simbol kesegaran dan tenaga, malah ia adalah keperluan asas untuk setiap atlet. Di padang, di gelanggang, mahupun dalam latihan harian, air adalah nadi kepada kekuatan fizikal dan mental.

“Tanpa air, tiadalah stamina dan tiada fokus untuk bersukan mahupun bermain bola. Justeru itu, pengisytiharan Waig sebagai air minuman rasmi Sabah FC adalah sesuatu yang amat simbolik, signifikan dan tepat pada waktunya,” katanya.

Pihaknya percaya pelaburan dalam sukan adalah pelaburan masa depan yang membentuk disiplin, semangat berpasukan dan memperkukuh perpaduan masyarakat.

Melalui kerjasama itu, katanya Jetama berharap agar Sabah FC akan terus mara ke hadapan, membawa nama Sabah lebih tinggi dalam liga kebangsaan mahupun antarabangsa. – Info X