Search

Laporan penuh siasatan kes kematian Zara Qairina diserahkan semula kepada polis

August 6, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Laporan penuh siasatan awal kes kematian Zara Qairina Mahathir yang diterima Jabatan Peguam Negara sebelum ini diserahkan semula kepada polis pada Selasa.

Memetik laporan BH Online di Putrajaya pada Rabu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata laporan siasatan itu diserahkan kepada polis bagi melengkapkan siasatan.

Katanya, pengembalian laporan penuh siasatan awal itu dibuat berikutan ada beberapa perkara yang perlu dilengkapkan dalam laporan berkenaan.

“Yang kita serah balik bukan IP (kertas siasatan) tapi laporan (penuh siasatan awal). Kita dah bagi arahan tertentu, maknanya ada beberapa benda yang kita kena ‘compile’ (susun) balik,” katanya seperti dilapor BH Online.

Sebelum ini Jabatan Peguam Negara mengesahkan sedang meneliti secara mendalam laporan penuh siasatan awal itu yang diterima masing-masing pada 3 Ogos lalu dari Cawangan Sabah dan pada 4 Ogos lalu di Ibu Pejabat Putrajaya.

Penelitian katanya meliputi semua aspek undang-undang dan fakta bagi memastikan setiap keputusan yang bakal diambil berlandaskan prinsip keadilan serta selaras dengan undang-undang negara.

Zara Qairina, 13, ditemui di bawah bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Kinarut, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan itu pada 16 Julai lalu.

Polis sebelum ini tidak menolak kemungkinan ada unsur buli yang menjurus kepada insiden itu. – Info X