Search

Lebih RM3 juta diagih kepada 3,293 keluarga mangsa banjir di Penampang

August 7, 2025

Info X Reporters

PENAMPANG: Seramai 3,293 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir di daerah ini pada 30 Jun hingga Julai tahun lalu menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) yang disalurkan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata penyampaian bantuan berjumlah lebih RM3 juta itu dilaksanakan secara berperingkat bermula Rabu hingga Jumaat dengan kerjasama Majlis Perbandaran Penampang (MPPg), di Dewan KDCA, Penampang.

“Bantuan ini tidak mungkin dapat menggantikan kerugian, trauma dan kepenatan yang dihadapi, tetapi ia menunjukkan komitmen pelbagai pihak untuk membantu penduduk terjejas banjir.

“Bantuan ini adalah hasil usaha dan kerjasama rentas agensi, dari pimpinan kepada penjawat awam di banyak kementerian, agensi dan jabatan dalam memastikan peruntukan bantuan dapat disalurkan dan disampaikan kepada KIR yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan bantuan itu di Dewan KDCA, di sini, pada Rabu.

Ewon menyampaikan Bantuan Wang Ihsan kepada mangsa banjir di Penampang.

Sementara itu, Ewon berkata, beberapa inisiatif sedang dilaksanakan bagi memperkukuh pengurusan bencana serta mengurangkan impak banjir di daerah Penampang.

“Antaranya termasuk pemasangan sistem amaran awal iaitu siren di beberapa kampung yang sering terjejas seperti Kampung Kodundungan, Nambazan, Penampang Proper, Putaton, Kolopis dan Sugud.

“Langkah ini bertujuan memberi amaran lebih awal kepada penduduk untuk bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Selain itu katanya, sebanyak 21 bangunan melibatkan sekolah, dewan masyarakat dan gereja di kawasan berisiko tinggi kini dicadangkan untuk diwartakan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Beliau turut menegaskan pentingnya projek tebatan banjir yang sedang berjalan di bawah Pakej 1 dan Pakej 3 yang sedang dirancang bagi melengkapkan usaha tersebut.

Dalam masa yang sama, katanya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bersama MPPg terus melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sungai dan sistem saliran sebagai usaha jangka panjang mengurangkan risiko banjir.

“Saya berharap dengan segala usaha ini, termasuk sokongan daripada semua pihak berkepentingan, kita dapat membendung risiko bencana banjir yang teruk seperti yang pernah berlaku sebelum ini,” katanya. – Info X