Search

Peneroka dibelenggu hutang, dakwa matlamat asal FELDA Sahabat tersasar

August 8, 2025

Info X Reporters

TUNGKU: Peneroka FELDA Sahabat, di sini, mendakwa masih terbeban dengan hutang, tiada geran dan berdepan akses kemudahan asas serta peluang ekonomi yang terhad.

Masalah itu menghantui peneroka sedangkan FELDA memperolehi hasil mencecah lebih RM1.2 bilion setahun daripada tanah yang diusahakan agensi itu di Tungku.

Seorang peneroka, Muliadi Selamat, 56, berkata peneroka dibelenggu hutang yang tidak berpenghujung kerana sukar untuk dilangsaikan.

Muliadi Selamat.

“FELDA meraih keuntungan begitu banyak dari tanah Sabah, tapi kehidupan kami dibelenggu hutang yang tidak berpenghujung.

“Saya risau jika saya meninggal nanti saya akan meninggalkan hutang yang akan ditanggung oleh anak-anak saya,” katanya.

Bagi generasi kedua peneroka, Aimin Ibrahim, 40, berkata ramai di antara mereka yang mengeluh mengenai masa depan yang tidak terjamin.

Aimin Ibrahim.

“Ladang luas, kilang pun ada, tapi peluang pekerjaan begitu terhad kerana diisi oleh orang luar. Kami terpaksa mencari rezeki di luar.

“Sepatutnya generasi kedua FELDA dan anak-anak tempatan diberi keutamaan,” katanya.

Bagi mereka, situasi itu menggambarkan matlamat asal pembukaan ladang FELDA di Tungku sejak lebih 40 tahun lalu yang sepatuthya membasmi kemiskinan luar bandar melalui pemberian tanah kepada rakyat, kini semakin tersasar.

FELDA Sahabat dibuka pada 1979 melalui Warta Kerajaan Negeri Sabah No148 yang kini meliputi kawasan seluas 119,000 hektar.

Daripada keluasan itu, hanya 5,378 hektar digunakan untuk penempatan 886 peneroka, manakala baki seluas lebih 113,000 hektar diusahakan secara komersial oleh FELDA sendiri tanpa memberi peluang kepada peneroka baharu.

Kiraan kasar menunjukkan tanah seluas itu sepatutnya boleh menempatkan hampir 18,718 peneroka jika mengikut pembahagian asal sekitar enam hektar seorang.

Berdasarkan anggaran, ladang komersial FELDA Sahabat menghasilkan RM1.236 bilion setahun mengikut standard pengeluaran 13.6 metrik tan Buah Tandan Segar (BTS) sehektar, dengan harga pasaran sekitar RM800 satu tan.

Namun, hasil itu tidak mengalir terus kepada peneroka, sebaliknya dimiliki sepenuhnya oleh FELDA melalui ladang-ladang komersialnya.

Selain isu itu, peneroka turut berdepan masalah di lapangan yang membimbangkan, terutama dari segi infrastruktur dan keperluan asas.

Belia FELDA Sahabat, Sarman Abdul Ghani, berkata kemudahan asas seperti elektrik dan air sudah mula menunjukkan masalah di Gugusan FELDA Sahabat.

“Buat masa ini kami sedang berhadapan dengan catuan bekalan elektrik, kualiti bekalan air yang kita risau tidak memenuhi piawaian kesihatan serta keadaan jalan yang di sesetengah tempat mengalami kerosakan teruk dan belum dibaiki serta amat menyusahkan.

“Kerajaan mesti mula mengambil tahu mengenai permasalahan rakyat di FELDA Tungku. Jangan hanya cantik di luar, gah didengar tetapi perkara di sebaliknya sedang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Assafal P Alian, turut tampil mempertahankan nasib peneroka di kawasannya itu.

Beliau menegaskan FELDA tidak boleh terus beroperasi seperti syarikat komersial semata-mata, sedangkan rakyat tempatan yang sepatutnya menjadi penerima manfaat utama terus terpinggir.

Assafal P Alian.

“Tujuan asal FELDA masuk ke Sabah adalah untuk membasmi kemiskinan luar bandar melalui pemberian tanah kepada rakyat.

“Jika tanah yang luas ini hanya menguntungkan FELDA dan bukannya rakyat Sabah, maka asas kepada kerjasama ini perlu dikaji semula,” katanya.

Assafal turut menggesa agar kerajaan negeri diberi kuasa yang lebih besar dalam pengurusan FELDA di Sabah dan memainkan peranan aktif dalam memperjuangkan hak peneroka serta memastikan suara generasi kedua tidak diketepikan.

Beliau mencadangkan untuk menambah peneroka dan memberi geran tanah kepada semua yang layak.

“Generasi Kedua diutamakan dalam kerja, rumah dan latihan; kemudahan asas dinaik taraf dan selesaikan isu tanah adat. Sabah perlu ambil alih saham majoriti dan wujudkan FELDA Sabah sendiri,” katanya.

Assafal berkata FELDA Sahabat sepatutnya menjadi pemangkin keluar daripada kemiskinan bagi ribuan keluarga di Sabah.

Namun, katanya tanpa tindakan tegas untuk mengembalikan fokus kepada tujuan asal penubuhannya, ia berisiko terus menjadi mesin keuntungan korporat dan bukan wadah pembangunan rakyat. – Info X