KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir bagi daerah Beaufort dan Tenom menurun pagi ini kepada 707 orang berbanding 1,435 mangsa semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan semua mangsa berkenaan daripada 323 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir sejak Isnin lalu dan
semua mangsa banjir di dua daerah terbabit kini masih ditempatkan di tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Sebanyak lima PPS masih dibuka di Tenom iaitu Dewan Mini Jinuim Jimin yang menempatkan 139 mangsa, Rumah Kebudayaan Batu-Batu (123 mangsa), Rumah Kebudayaan Pantagon Saga (47 mangsa), Dewan Kalang Kanar (24 mangsa) dan Dewan Terbuka Kampung Saga (22 mangsa).
“Manakala dua lagi PPS di Beaufort iaitu Dewan Selagon menempatkan seramai 218 mangsa dan Dewan DSP Dun Banir masih terdapat seramai 134 mangsa,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Sementara itu, sebanyak 12 sekolah di dua daerah berkenaan setakat hari ini masih belum dapat beroperasi akibat banjir.
Timbalan Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Sabah, Abidin Marjan berkata, semua sekolah yang terbabit iaitu sekolah rendah dan sebuah sekolah jenis kebangsaan cina (SJKC).
“Menurut rekod diterima, sembilan daripada sekolah terjejas adalah di daerah Beaufort manakala selebihnya pula di daerah Tenom.
“Semua sekolah terjejas akibat banjir kilat berkenaan membabitkan seramai 1,975 murid manakala guru yang terbabit di semua 12 sekolah berkenaan adalah seramai 215 guru,” katanya. – Info X