Search

Kes Zara: Peguam harap pasukan siasatan khas Bukit Aman rungkai punca kematian

August 12, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pasukan peguam dilantik keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir berharap pasukan khas dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang mengambil alih siasatan kes kematian pelajar itu dapat merungkai punca kematiannya.

Peguam Shahlan Jufri, berkata siasatan pasukan khas itu turut diharap dapat membuktikan wujud unsur jenayah yang menyebabkan kematian Allahyarham Zara Qairina.

“Perkembangan positif ini diharap dapat merungkai isu kematian Zara dan seterusnya membuktikan bahawa wujud unsur jenayah yang telah menyebabkan kematian berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menghantar pasukan khas dari Bukit Aman bagi mengambil alih siasatan kes kematian Allahyarham Zara Qairina, 13.

Pasukan khas yang terdiri daripada sembilan pegawai dan anggota JSJ itu sudah digerakkan ke Kontinjen Sabah sebagai sebahagian daripada komitmen PDRM bagi memastikan siasatan dilaksanakan secara telus dan menyeluruh.

Dalam kenyataan itu, Shahlan bersama rakan guamannya, Rizwandean M Borhan dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi, berkata pengambilalihan siasatan kes itu selaras dengan salah satu daripada empat perkara yang dimohon pihaknya daripada Jabatan Peguam Negara menerusi surat bertarikh 5 Ogos 2025.

Selain pengambilalihan siasatan itu, dua lagi sudah dilaksanakan iaitu, pengembalian kertas siasatan kepada PDRM dan siasatan dibuka
semula serta penggalian semula kubur arwah Zara agar satu bedah siasat dilakukan bagi menentukan punca sebenar kematian.

Setakat ini, hanya permohonan untuk diadakan satu inkues bagi menentukan sama ada wujud unsur jenayah atau tidak dalam kes kematian Zara yang belum dilaksanakan.

Pada Ahad, Shahlan menjelaskan bahawa inkues bagi kes itu perlu diadakan jika keluarga dan pihaknya tidak berpuas hati terhadap keputusan laporan bedah siasat ke atas jenazah arwah Zara yang akan dikeluarkan selepas ini.

Katanya, inkues juga tidak akan diminta jika ada suspek yang ditahan dan didakwa selepas selesai siasatan kes kematian Zara. – Info X