Search

Taktik sorok beras, petrol bawah botol kosong gagal

August 12, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Taktik licik dua lelaki menyembunyikan empat tan beras dan 700 liter petrol di bawah timbunan botol kosong gagal mengaburi pihak berkuasa apabila bot kargo mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, bot kargo tempatan berkenaan dikesan ketika Maritim Malaysia menjalankan Ops Pluto Timur, Ops Sejahtera dan Ops Tiris di kedudukan 2.15 batu nautika selatan Batu 3, di sini.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot itu dikendalikan seorang juragan lelaki tempatan berusia 60 tahun bersama pembantu lelaki warga Indonesia berusia 58 tahun yang memiliki pasport sah.

“Juragan terbabit gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan barang kawalan dan permit beras bagi muatan dibawa.

“Hasil penggeledahan menemukan 400 kampit beras dianggarkan seberat empat tan serta 27 gelen petrol bersamaan 700 liter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anggota APMM bot kargo tempatan yang membawa beras tanpa permit di perairan Tawau.

Menurutnya, semua rampasan termasuk bot kargo dan enjin dianggarkan bernilai RM55,000.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522),”katanya

Ariffin berkata, siasatan juga dijalankan bagi mengenal pasti sama ada muatan berkenaan cuba diseludup ke negara jiran berikutan jumlah yang dibawa dan pergerakan bot yang dikesan pada awal pagi.

“Maritim Malaysia akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti haram serta jenayah rentas sempadan khususnya di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE).

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau MERS 999,” katanya. – Info X