Search

Ketua Menteri, isteri jumpa ibu Zara di Sri Gaya

August 13, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama isteri, Datin Seri Juliah Salag, hari ini bertemu ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir, bagi menyampaikan takziah dan simpati mendalam.

Kehadiran ibu arwah Zara, Noraidah Lamat di Sri Gaya itu turut disantuni ahli Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Sabah (Mutiara GRS).

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya amat bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah.

“Kami mendoakan agar mereka diberi kekuatan menghadapi dugaan berat ini,” kata Hajiji.

Katanya, beliau sudah mengarah menteri bertanggungjawab dalam portfolio pendidikan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawang, Datuk Seri Ghulamhaidar Khan Bahadar menziarahi Zara lebih awal ketika mangsa masih dirawat di hospital, sebagai bukti kerajaan negeri mengambil berat isu itu.

Sementara itu, katanya, gelombang solidariti #JusticeforZara yang digerakkan oleh nitizen dalam menuntut keadilan buat mangsa, memang baik, namun orang ramai perlu mengelak membuat spekulasi yang tidak wajar.

“Kita serahkan kepada pihak polis dan pihak berwajib lain untuk membuat siasatan dan berharap pihak berkuasa dapat melengkapkan siasatan secepat mungkin demi mendapatkan keadilan untuk semua pihak,” katanya.

Dalam pada itu, Juliah berkata, beliau amat memahami perasaan seorang ibu yang kehilangan anak tersayang.

“Keselamatan anak-anak, khususnya pelajar asrama, mesti diutamakan agar tragedi seperti ini tidak berulang,” katanya.

Allahyarhamah Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama, sehari sebelum itu. – Info X