KOTA KINABALU: Sidang media Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, semalam membuktikan ‘plot twist’ yang ditularkan beberapa minggu lalu di platform media massa kononnya ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir menjadi punca kematian Zara tidak benar.
Peguam keluarga Zara, Shahlan Jufri, berkata tuduhan itu adalah satu naratif jahat untuk memfitnah arwah Zara dan ibunya.
“Sidang media itu membuktikan bahawa ‘plot twist’ yang ditularkan beberapa minggu lalu di platform-platform media massa kononnya anak guam kami menjadi punca kematian Zara adalah tidak benar.
“Plot twist itu adalah satu naratif jahat dan jijik yang direka untuk memfitnah anak guam kami dan Zara.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada Datuk M Kumar, JSJ Bukit Aman dan Pasukan Petugas Khasnya kerana bertindak pantas menyiasat kematian Zara,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sementara itu, Shahlan bersama rakan guamannya, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat yang boleh membantu siasatan polis agar anda tampil ke hadapan.
“Salurkan maklumat anda kepada polis. Jika anda takut atau memerlukan bantuan untuk berbuat demikian, anda boleh berjumpa dengan kami.
“Akhir sekali, kami berterima kasih dan menghargai seluruh rakyat Malaysia yang menyokong dan berdoa mencari keadilan untuk Zara.
“Dalam pada yang sama, elakkan membuat spekulasi yang tidak benar tentang kes kematian Zara,” katanya. – Info X