Search

Jika kami tahu, kami tidak akan tandatangan dokumen bagi menolak bedah siasat itu – Ibu Zara Qairina

August 14, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ibu kepada arwah Zara Qairina Mahathir menjelaskan, dia terkejut dengan kejadian yang berlaku terhadap anaknya dan tidak dapat membuat keputusan wajar ketika diminta untuk memberi kebenaran bagi menjalankan bedah siasat.

Noraidah Lamat berkata, dia terkejut dan panik serta tidak diberikan sebarang nasihat pada waktu itu bagi menolak untuk menandatangani dokumen menolak bedah siasat.

“Saya terkejut, panik dan tidak dapat membuat keputusan yang wajar ketika kejadian. Tiada nasihat diberikan dan jika kami tahu, kami tidak akan tandatangan dokumen menolak bedah siasat itu,” katanya dalam satu komen di Facebook.

Wanita berusia 45 tahun itu mengakui beliau tidak dapat berfikir dengan waras ketika diminta untuk memberi kebenaran bagi menjalankan bedah siasat terhadap anaknya, Zara Qairina,13, yang meninggal dunia pada 17 Julai lalu.

“Tiada penjelasan yang jelas dan kami memang tidak biasa dengan kes seperti ini. Kami panik dan tiada nasihat diberikan mengenai proses bedah siasat.

“Jika kami tahu (kepentingan membuat bedah siasat), kami tidak akan tandatangan dokumen bagi menolak bedah siasat itu,” katanya.

Peguamnya, Hamid Ismail, mengesahkan akaun dengan nama pengguna ‘Noie AiDa’ adalah milik Noraidah.

Pada Rabu, Bukit Aman mendedahkan memang terdapat ketidakpatuhan prosedur oleh pihak polis kerana gagal menjalankan bedah siasat.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M Kumar, berkata Noraidah sendiri menandatangani dokumen yang dikeluarkan pihak hospital untuk tidak membenarkan bedah siasat dijalankan terhadap jenazah anaknya.

Zara Qairina meninggal dunia pada 17 Julai lalu di Hospital Queen Elizabeth, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di asrama sekolahnya di Papar.

Jabatan Peguam Negara kemudian mengarahkan supaya mayat pelajar itu digali semula dan bedah siasat dilakukan pada Ahad lalu.

Mayat Zara Qairina dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi di Sipitang Isnin lalu. – Info X