Search

LAPAN PATI DIBERKAS DI KAMPUNG TITINGAN

May 16, 2022

admin

TAWAU: Lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menyusup masuk ke daerah ini berjaya ditahan Tim Quick Reaction Force (QRF) dalam operasi di Kampung Titingan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, semua PATI berusia lingkungan dua hingga 40 tahun terbabit mengaku berasal dari Pulau Sebatik, Indonesia dan masuk ke Sabah untuk kembali bekerja selepas bercuti melawat keluarga di negara jiran berkenaan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Bahagian Hal Ehwal Awam, Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) hari ini berkata, kejayaan tangkapan ini adalah hasil pengesanan kehadiran sebuah bot laju mencurigakan yang menurunkan seramai lapan individu bersama barangan persendirian secara berkumpulan di kampung berkenaan.

Katanya, pihaknya kemudiannya mengesan kenderaan jenis teksi yang dipercayai turut terlibat dalam kegiatan pencerobohan PATI berkenaan.

“Tim QRF kemudiannya bertindak mengekori teksi berkenaan dan mendapati semua PATI terbabit diturunkan di Jalan Chen Fook, di sini.

“Pasukan operasi terus bertindak menahan semua individu terbabit bagi melaksanakan pemeriksaan dan mendapati mereka memiliki passport dan permit kerja yang sah.

“Bagaimanapun, semua individu terbabit tidak mendapat sebarang cop pengesahan kebenaran untuk masuk ke negeri Sabah dan dipercayai memasuki Malaysia secara haram melalui perairan Tawau,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, semua yang ditahan membabitkan enam lelaki, seorang wanita dan seorang bayi perempuan berusia dua tahun.

Katanya, semua PATI hanya membawa barang persendirian dan tiada sebarang penemuan barang-barang terlarang.

“Semua PATI terbabit terus dibawa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan selanjutnya termasuk proses saringan Covid-19.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah. – Info X