KOTA KINABALU: Peguam Datuk Ram Singh memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang jika ada pihak berterusan menyebarkan dakwaan tidak berasas yang mempertikai integriti dirinya sebagai seorang ahli profesional.
Ia berkaitan penyebaran sekeping gambar di media sosial yang menggambarkan seolah-olah ada perkara tersirat membabitkan integritinya berhubung prosiding di Mahkamah Kanak-Kanak.
“Saya menggesa orang ramai supaya mengabaikan sindiran yang tidak berasas ini. Jika pemalsuan ini berterusan, saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil semua tindakan undang-undang yang sewajarnya bagi melindungi nama dan kedudukan profesional saya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ram Singh menegaskan, beliau tanpa ragu-ragu bahawa dakwaan digambarkan menerusi penyebaran foto itu adalah palsu, berniat jahat dan satu perbuatan yang dilakukan untuk mencemarkan nama baiknya sebagai seorang profesional.
“Saya ingin menyatakan secara mutlak dan tanpa ragu-ragu bahawa dakwaan ini adalah palsu sepenuhnya, berniat jahat dan dikira untuk mencemarkan reputasi profesional saya.
“Saya melaksanakan tugas saya mengikut piawaian etika tertinggi profesion undang-undang dan peraturan tata laku profesional sepanjang masa.
“Sebagai seorang pegawai mahkamah, tugas saya adalah untuk menegakkan keadilan tanpa rasa takut atau berpihak dan saya melaksanakan tugas itu dengan penuh kesungguhan dalam kes ini,” katanya.
Beliau menegaskan tidak pernah menerima, meminta atau dipengaruhi oleh sebarang dorongan daripada mana-mana parti politik atau yang berkaitan, jauh sekali daripada menerima sebarang pertimbangan yang tidak betul bagi mempengaruhi dirinya. – Info X