Search

Jajaran Lebuhraya Pan Borneo Tebobon-Berungis hanya siap tahun depan

August 22, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di jajaran Tebobon-Berungis, di sini yang sebelum ini dijadual siap pada 2025 dianjak ke tahun depan berikutan kelewatan kerja yang disebabkan gangguan tertentu.

Perkara itu dimaklumkan Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau ketika sesi soal jawab Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, pada Khamis.

Madius membangkitkan persoalan berhubung kelewatan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah jajaran Tebobon–Telipok–Bulatan Berungis, Tuaran yang pada tahun lalu dinyatakan akan siap sepenuhnya pada tahun ini.

Bagaimanapun, katanya sehingga pertengahan 2025, pembinaan projek itu belum menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan berbanding apa yang sudah dilaksanakan pada tahun lalu.

Menjawab soalan itu, KKR dalam jawapan bertulisnya menjelaskan jajaran berkenaan adalah sebahagian daripada Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1A, iaitu Pakej WP08: Sepanggar ke Bulatan Berungis sepanjang 11.7 kilometer.

“Ia melibatkan kerja menaik taraf jalan sedia ada dua lorong dua hala kepada jalan berkembar tiga lorong dua hala dengan spesifikasi R5.

“Setakat 25 Jun 2025, kemajuan fizikal Pakej WP08 mencapai 83.84 peratus, ketinggalan berbanding sasaran sebanyak 89.88 peratus.

“Kelewatan ini antara lain berpunca daripada pelaksanaan Projek Pemasangan Paip Telibong 2 di sepanjang jajaran, yang turut menjadi projek utama kerajaan untuk menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan Kota Kinabalu Utara,” katanya.

KKR menjelaskan, daripada keseluruhan 11.7 kilometer panjang jajaran itu, sepanjang empat kilometer dijangka siap sepenuhnya sebagai jalan berkembar tiga lorong dua hala dan dibuka kepada orang awam menjelang akhir tahun ini, manakala baki jajaran akan disiapkan pada 2026.

“Kerajaan kekal komited memastikan kelancaran pelaksanaan projek memandangkan jajaran itu adalah laluan strategik menghubungkan Tuaran dan Kota Kinabalu.

“Bagi memastikan projek berjalan mengikut perancangan, KKR bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah akan meneruskan pemantauan ketat,” katanya.

Jelas KKR, sebarang isu kritikal akan dibawa terus ke Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Projek LPB Sabah untuk tindakan segera. – Info X