Search

Lelaki mabuk tembak kereta, rumah penduduk guna ‘bakakuk’ ditahan polis

August 25, 2025

Info X Reporters

KENINGAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki melepaskan tembakan menggunakan senjata api buatan sendiri jenis bakakuk ke arah sebuah kereta dan rumah penduduk di Kampung Liposu, Sook, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang, suspek berusia 30 tahun dipercayai bertindak menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu rakannya sekampung sebelum melepaskan satu das tembakan ke arah belakang kenderaan berkenaan.

Tembakan itu menyebabkan cermin pecah selain lapan kesan berlubang pada bahagian penutup bucket.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai, berkata kira-kira 10 minit sebelum insiden itu, suspek turut dikesan melepaskan satu das tembakan ke arah tiang rumah seorang lagi penduduk kampung.

Bagaimanapun, katanya tiada kecederaan dilaporkan dalam kedua-dua kejadian berkenaan.

Kesan tembakan pada kenderaan mangsa.

“Bertindak hasil laporan dibuat mangsa, polis berjaya menahan suspek di rumahnya di Kampung Liposu pada jam 6.30 pagi tadi.

“Turut dirampas, selaras senapang buatan sendiri jenis bakakuk, peluru hidup pelbagai jenama serta beberapa kelongsong,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek dipercayai mabuk teruk selepas minum arak di rumah bapa saudaranya sebelum bertindak agresif dengan melepaskan tembakan secara rawak.

“Motif kejadian masih dalam siasatan dan perbuatan suspek melepaskan tembakan jelas mendatangkan kegusaran awam dan membahayakan keselamatan penduduk kampung,” katanya.

Polis turut merampas beberapa butir peluru selepas suspek diberkas.

Yampil berkata, ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu kerana cubaan membunuh,” katanya. – Info X